Skip to main content

MINGGU SOLIDARITI PALESTIN 2023


UCAPAN SOLIDARITI BERSAMA PALESTIN


Alhamdulillah. Hari ini kita berkumpul untuk menzahirkan  solidariti atau sokongan buat Palestin yang sedang dijajah oleh Israel. Program ini bertujuan untuk mendidik kita sebagai pelajar tentang nilai manusiawi   yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan, termasuk sikap empati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.

Sebagai permulaan,  mari kita fahami dahulu punca sebenar krisis ini berlaku. ZIONISME. Untuk makluman rakan-rakan, asas idealogi Zionisme itu sama dengan idealogi Nazisme, mengagungkan bangsa sendiri dan mewujudkan nasionalisme yang melampau dalam kalangan satu-satu bangsa. Dulu, Fahaman Nazisme inilah yang mendorong Hitler melakukan genocide / pembunuhan beramai-ramai. Kini, fahaman Zionisme yang menjadi punca krisis kemanusiaan di Palestin.

Justeru rakan-rakan, untuk memahami krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di Timur Tengah saat ini, hari ini kami akan berkongsi latar belakang Palestin dan sejarah penjajahan Israel.

Tahun 2023 ini, dunia digemparkan dengan peperangan   antara Pejuang Pembebasan Palestin dengan Israel yang bermula 7 Oktober 2023 lepas.

Palestin menyebut peristiwa ini sebagai Taufan Al-Aqsa. Israel pula menamakannya sebagai Misi Pedang Besi IDF. Namun yang pasti, peristiwa hitam ini bukanlah isu agama semata-mata, malah lebih teruk   berbanding itu. Isu ini merupakan krisis kemanusiaan paling ngeri yang pernah disaksikan oleh manusia zaman moden. Kerana itulah isu ini selayaknya   dilabelkan sebagai holocaust, genocide, ethnic cleansing atau apartheid yang Israel lakukan terhadap orang Palestin.

Hakikatnya, peristiwa ini tidak bermula pada 7 Oktober 2023. Penjajahan Israel terhadap Palestin sudah berlaku sejak tahun 1948 lagi. Suatu penjajahan zaman moden, kesan Perang Dunia Pertama.

Jika kita hendak bercerita tentang sekeping tanah yang menjadi rebutan di Timur Tengah itu, sejarahnya sangat panjang, kerana kewujudan tanah Palestin itu sudah ribuan tahun, sejak dari zaman Nabi Ibrahim / Abraham lagi.

Bermula dari didiami oleh nenek moyang Palestin, sehinggalah ke zaman Nabi Musa / Moses dan Nabi Daud / David, ketika orang Yahudi datang ke Semenanjung Sinai.

Sepanjang sejarah, Palestin telah diperintah oleh banyak kumpulan, termasuk Asyur, Babylon, Parsi, Yunani, Rom, Arab, Fatimiyah, Turki Seljuk, Tentera Salib, Mesir dan Mamluk. Dalam tempoh dari kira-kira 1517 hingga 1917, Empayar Turki Uthmaniyyah memerintah sebahagian besar wilayah itu.

Apabila Empayar Turki Uthmaniyyah kalah dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1918, penguasaan tanah Palestin jatuh ke tangan British. Pada tahun itu, Liga Bangsa-Bangsa (hari ini telah digantikan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu - PBB) telah mengeluarkan mandat ‘British untuk Palestin’.

Mandat British ini ialah sebuah dokumen yang memberikan kawalan pentadbiran Britain ke atas wilayah Palestin. Mandat yang berkuat kuasa pada tahun 1923 inilah yang dijadikan lesen oleh Israel Zionis untuk menubuhkan tanah air kebangsaan Yahudi di Palestin. Bertitik tolak dari peristiwa inilah bermula krisis kemanusiaan yang berlaku di Palestin ini.

Mari kita fahami sejarahnya.

Pada tahun 1947, selepas lebih daripada dua puluh dekad pemerintahan British, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencadangkan rancangan untuk membahagikan Palestin kepada dua bahagian – sebuah ‘negara’ Yahudi yang merdeka dan sebuah negara Arab yang merdeka.

Pada tahun 1947 inilah 100,000 orang pelarian Yahudi tiba di tanah Palestin untuk mendapatkan perlindungan dari Jews Holocaust yang dilakukan oleh Hitler ketika Perang Dunia Kedua. Pelarian Yahudi dari Eropah itu ​​telah diterima dan dialu-alukan oleh penduduk Palestin dengan tangan terbuka. Malah mereka menyediakan tempat tinggal dan pekerjaan untuk pelarian Yahudi itu.

Malangnya, menjelang tahun 1948, apabila idealogi Zionisme semakin popular dalam kalangan orang Yahudi, episod hitam bagi orang Palestin bermula.

Orang Yahudi Zionis telah menyerang dan mengusir lebih daripada 750,000 orang Palestin dari rumah dan kediaman mereka. Zionis itu telah merampas 78% tanah Palestin dengan membantai penduduk Palestin secara beramai-ramai. Maka, wujudlah sebuah negara haram yang diberi nama Israel.

Peristiwa 1948 ini digelar oleh penduduk Palestin sebagai Nakba, yang bermaksud Musibah.

Rakan-rakan sekalian….

Hari ini, rakyat Palestin yang telah diusir keluar dari tanah mereka pada tahun 1948 sudah tidak boleh pulang ke rumah mereka. Mereka terpaksa menjadi imigran dan pelarian di seluruh dunia. Seramai 7.8 juta rakyat Palestin terpaksa menjadi pelarian di seluruh dunia.

Di Malaysia ini, lebih daripada 1000 orang pelarian Palestin yang mendapat perlindungan di sini, tidak termasuk imigran Palestin yang belajar dan bekerja di sini.

Sementara orang Palestin yang masih bertahan di tanah air mereka, terpaksa hidup di bawah penjajahan Zionis Israel. Mereka telah dibunuh, diculik, diseksa dan didera oleh penjajah Israel. Selama 75 tahun lamanya, kekejaman yang dilakukan oleh penjajah Israel terhadap penduduk Palestin tidak berkesudahan.

Perjuangan pembebasan Palestin ini sudah lama. Bukan sahaja digerakkan oleh orang Palestin itu sendiri melalui dua siri Intifada yang mereka lakukan. Pada tahun 1967, negara-negara Arab pernah bersatu menyerang Israel untuk membebaskan Palestin. Namun, dalam perang yang berlangsung selama enam hari itu, Israel dibantu oleh Amerika Syarikat dan British sehingga menyebabkan negara-negara Islam di Timur Tengah kalah. Rentetan daripada Perang Enam Hari 1967 inilah, nasib rakyat Palestin semakin menderita. Israel lebih kejam dalam penjajahan mereka. Rakyat Palestin di utara diusir ke Gaza, dikurung di sana.

Rakan-rakan sekalian, Gaza itu kecil sahaja saiznya. Malah lebih kecil berbanding Melaka. Di dalam Gaza itu, lebih 2.2 juta rakyat Palestin yang tinggal, tanpa bekalan makanan yang mencukupi, tanpa bekalan elektrik yang stabil. Setiap hari mereka hidup dalam ketakutan kerana bila-bila masa sahaja, tentera Israel akan menjatuhkan serangan kepada mereka.

Untuk makluman rakan-rakan sekalian, Gaza itu merupakan Open Air Prison paling besar di dunia. Penjara Terbuka Tersebar! Seluruh Gaza dipagar menggunakan tembok yang dikawal ketat oleh Israel. Penduduk Gaza tidak dibenarkan keluar dari tembok itu tanpa kebenaran Israel.

Mengapa perlu kita ketahui tentang keadaan Palestin?

Sekali lagi saya tekankan, isu ini bukan isu agama Islam semata-mata. Isu ini ialah isu kemanusiaan. Sebagai negara yang pernah dijajah, kita seharusnya faham bagaimana rasanya penderitaan hidup di bawah penjajahan. Hak kemanusiaan dinafikan, kita diperlakukan sebagai haiwan. Musibah yang sedang berlaku di Gaza ini ialah Bencana Kemanusiaan yang paling dahsyat pernah dunia moden saksikan.

Perang tahun 2023 ini bukanlah kali pertama Israel menyeksa orang Palestin. Saban tahun, setiap hari tentera Israel menangkap penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Hari ini bilangan penduduk Palestin yang dipenjara oleh Israel adalah melebih 8000 orang, tidak termasuk bilangan yang sudah mati diseksa di penjara.

Perang tahun 2023 ini dihebahkan kononnya bermula apabila pejuang pembebasan Palestin iaitu Hamas menyerang orang awam Israel. Propaganda Israel memfitnah kononnya Hamas telah memusnahkan rumah orang awam, membunuh dan membakar bayi yang tidak berdosa.

Rakan-rakan sekalian, realitinya tidak begitu. Kerana itulah perlu kita cakna akan isu ini.

Untuk pengetahuan rakan-rakan semua,

Hamas ialah pemimpin politik di Gaza yang baru ditubuhkan pada tahun 1987. Padahal kekejaman Israel terhadap Palestin sudah bermula sejak tahun 1948 lagi. Parti Politik Hamas itu terpaksa menubuhkan pasukan tentera sendiri demi membebaskan Palestin. Sebagai parti politik, Hamas tidak memiliki kelengkapan tentera yang cukup untuk meletupkan kawasan perumahan dan membakar bayi orang awam Israel. Kebanyakan roket dan misil Hamas agak primitif jika dibandingkan dengan alat ketenteraan Israel yang ditaja oleh Barat. Senjata pembebasan Hamas dicipta dalam keadaan serba daif akibat penjajahan Israel.

Benar, pada 7 Oktober 2023 yang lepas, Hamas telah memulakan misi Taufan Al-Aqsa mereka dan menyusup masuk ke dalam perumahan orang awam Israel. Namun, realitinya serangan Hamas itu bukanlah bertujuan untuk membunuh orang awam Israel. Usaha Hamas itu salah satu cara mereka untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajahan Israel. Tetapi hanya untuk mendapatkan tahanan sebagai tebusan rundingan dengan kerajaan penjajah Israel yang telah memenjarakan lebih 8000 orang penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Malah, tentera Israel sendirilah yang telah melepaskan tembakan ke arah orang awam Israel sendiri pada 7 Oktober itu. Fakta ini bukan fakta palsu. Bahkan laporan dari media Israel sendiri yang melaporkan bahawa tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah orang awam Israel pada 7 Oktober sebelum perang bermula.

Rakan-rakan sekalian…

Penjajah Israel menjadikan misi Taufan Al-Aqsa yang dilakukan oleh Hamas itu sebagai alasan untuk memulakan misi Pedang Besi mereka, iaitu misi ketenteraan yang kononnya ingin menewaskan Hamas.

Tetapi rakan-rakan sekalian, itu hanyalah propaganda Israel. Bukti-bukti kekejaman Israel sudah tersebar di media sosial. Tentera Israel bukannya mensasarkan Hamas, tetapi dengan sengaja, tentera Israel mengebom orang awam Palestin di Gaza tanpa mengira agama.

Tujuan sebenar Israel Zionist ini ialah menghapuskan penduduk Palestin di Gaza. Malah lebih teruk lagi, pegawai-pegawai tentera dan menteri-menteri Israel melabelkan penduduk Palestin sebagai haiwan, binatang. Gelaran serupa yang pernah Hitler gunakan untuk menghalalkan kekejamannya terhadap orang Yahudi ketika Perang Dunia Kedua dulu. Kini, Israel melakukan hal serupa kepada orang Palestin.

Hari ini sudah hampir sebulan bumi Gaza dihujani dengan bom. 27 Oktober yang lepas, tentera Israel telah menyerang Gaza selama 13 jam tanpa henti. Serangan dilakukan dari semua arah, udara, darat dan laut. Hospital-hospital yang menjadi tempat perlindungan orang awam dijadikan sasaran serangan Israel.

Akibatnya, pada pagi 28 Oktober banyak mayat yang bergelimpangan sehingga kamar mayat di Hospital Al-Shifa, Gaza penuh. Akhirnya, mayat-mayat itu terpaksa dibiarkan bergelimpangan di luar hospital sementara menanti kubur besar siap digali.

Situasi yang berlaku di Gaza saat ini ialah Genocide. Holocaust. Pembersihan etnik. Selama hampir sebulan menyerang Gaza, tentera Israel telah menggunakan bom yang diharamkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa iaitu bom fosforus putih.

Bom fosforus putih sangat berbahaya, kerana dalam peledaknya terdapat cecair yang menyerupai asid. Teruknya kesan bom tersebut, sehingga apabila terkena kulit, bom itu akan menghakis semua organ dan otot, sehingga ke tulang.

Gara-gara penggunaan bom inilah, banyak mayat penduduk Palestin yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna jasad. Kepala bayi terpisah dari badannya. Kanak-kanak kehilangan tangan dan kaki, ibu yang mengandung mengalami keguguran kerana rahim dan perutnya dihakis oleh bom larangan itu.

Tetapi rakan-rakan sekalian, kekejaman Israel tidak terhenti di situ sahaja. Pengganas Israel juga telah memutuskan bekalan elektrik, air dan makanan di Gaza. Bantuan Kemanusiaan yang dihantar dari seluruh dunia juga disekat oleh Israel. Bantuan Kemanusiaan dihadkan oleh Israel. Akibatnya, 2.2 juta orang Palestin yang terperangkap di Gaza mengalami kebuluran. Wabak penyakit mula berjangkit. Bekalan air bersih tidak ada. Hospital tidak dapat berfungsi kerana tiada bekalan elektrik.

Hari ini, Israel cuba mengusir 1.1 juta penduduk Palestin di utara Gaza ke bahagian selatan. Malangnya, apabila penduduk Gaza dari utara cuba ke selatan, tentera udara Israel menyerang mereka di tengah jalan.

Ini buktinya, Israel bukan ingin menewaskan Hamas seperti yang mereka dakwa. Tetapi mereka ini menghapuskan rakyat Palestin dari muka   bumi ini. Satu kekejaman yang tidak sepatutnya dialami oleh mana-mana manusia.

Israel telah menghancurkan hospital yang merawat ratusan orang awam yang cedera, seperti yang mereka lakukan terhadap Hospital Al-Ahli Arab pada 17 Oktober yang lalu.

Israel telah memusnahkan masjid-masjid dan gereja di   Gaza. Padahal masjid dan gereja ini menjadi tempat perlindungan orang awam dari serangan udara Israel yang ganas.

Sehingga 29 Oktober tadi, seramai 8131 rakyat Palestin   telah dibunuh oleh Israel. 20, 438 cedera parah, sementara 1 juta 400 ribu orang kehilangan tempat tinggal.

Harus difahami di sini rakan-rakan sekalian. Negara kita tidak menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas. Hamas bukan pengganas. Itu hanyalah   propaganda Zionis yang Israel sebarkan untuk menghalalkan genocide yang mereka lakukan terhadap Palestin.

Hamas ialah pejuang pembebasan Palestin.

Perjuangan untuk menghentikan bencana kemanusiaan di Gaza.

Sebagai negara merdeka yang mengutamakan hak asasi kemanusiaan, Malaysia berdiri teguh bersama perjuangan Hamas untuk membebaskan Palestin dari penjajahan Israel.

Dari sungai ke samudera,

Palestin akan merdeka.

From the river to the sea, Palestine will be free.

#FreePalestine! 

#freepalestine #savegaza #palestine #solidarity


Comments