Skip to main content

ADAKAH KESULTANAN JOHOR KINI BUKAN SULTAN YANG SEBENAR?

 

Dengan merujuk kepada fakta-fakta sejarah yang dicatat oleh para sejarawan, Kesultanan Johor kini ialah kesultanan yang sah. Penerangan lanjut boleh baca di bawah.

Sebelum menjawab persoalan ini, perlu kita fahami dulu konsep ketaatan rakyat terhadap pemerintah yang sudah berubah seiring peredaran masa. Atau lebih tepat lagi konsep pelantikkan seseorang raja/sultan.

Sebelum abad ke-17, orang-orang Melayu di Nusantara ini taat kepada sultan dengan berlandaskan kepercayaan kepada Lagenda Bukit Seguntang (Keturunan Iskandar Zulkarnain) seperti yang ditulis dalam Sulalatus Salatin . Dek kerana itulah, susur galur kesultanan Melaka tetap ditaati. Namun, konsep ketaatan ini tidak selari dengan keadaan dunia ketika itu. Yakni konsep naungan/jajahan kerajaan-kerajaan yang lebih berkuasa selain Kesultanan Melaka. Contoh paling mudah, kisah naungan Srivijaya, Majapahit, Dinasti China dan Siam. Kuasa-kuasa yang diakui lebih besar di rantau Nusantara ini berkuasa melantik raja/sultan di mana-mana wilayah kuasa kecil di bawah naungan/jajahannya. Pengiktirafan lebih dipandang di mata dunia, bukan kepercayaan mitos semata-mata.

Maka, seawal abad ke-17, ketika bermulanya era penjajahan, kuasa-kuasa Barat mula menjadi kuasa paling kuat di Nusantara, sehingga kuasa-kuasa besar Nusantara yang lain terpaksa tunduk dan akur. Ini bukan soal pro-barat atau tidak, cuma memang begitulah realitinya politik dunia, termasuk Nusantara.

Jadi, selesai dengan fahaman tentang konsep kuasa raja-raja dahulu. Maka mari kita singkap kisah panjang Kesultanan Johor yang menarik ini.

 

A.     DINASTI MELAKA

1.      Sultan Melaka Yang Terakhir

-          1511, detik jatuhnya Melaka ke tangan Portugis, Sultan Mahmud menyelamatkan diri ke Bertam, lalu ke Pagoh dan seterusnya ke Pahang selepas diserang oleh Portugis. Dari Pahang, Sultan Mahmud dan pengikutnya turun ke Bentan dan mula membina penempatan di sana. Sultan Mahmud yang merupakan Sultan Melaka ini masih ditaati oleh wilayah-wilayah naungan Melaka (Singapura, Siak, Kedah, Perak, Pahang dll) termasuk orang laut. Mendengar sahaja Sultan Mahmud membina penempatan di Bentan, maka ramai yang datang untuk membantu Sultan Mahmud dan hidup di Bentan, di bawah pemerintahan Sultan Mahmud.

-          Dari Bentan, Sultan Mahmud cuba untuk mendapatkan Melaka kembali. Banyak kali serang Melaka sehingga Portugis geram. ‘Selagi ada Sultan Mahmud, selagi itulah Melaka tidak aman’. Maka Portugis pun serang Bentan sehingga akhirnya Sultan Mahmud terpaksa berundur ke Kampar, mangkat di sana (tetapi, ada catatan Portugis yg kata Sultan Mahmud berundur ke Kota Tinggi dan mangkat di sana – malangnya pendapat ini tidak selari dgn lanjutan kisah Sejarah seterusnya).

-          1528, Sultan Mahmud mangkat di Kampar, anaknya Raja Ali diangkat untuk menggantikan Sultan Mahmud dengan gelaran Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528-1564). Dengan ini, berakhirnya Kesultanan Melaka (tetapi keturunannya masih ada) dan bermulanya Kesultanan Johor-Riau.

 

2.      Kesultanan Johor-Riau

-          Sultan Alauddin meninggalkan Kampar dan menubuhkan petempatan di Ujong Tanah, Johor dan meneruskan usaha ayahandanya, Melaka terus diserang sehingga akhirnya Portugis geram lalu menyerang balas semula sehingga Johor-Riau kalah dan terpaksa berpindah.

-          Tidak cukup dengan Portugis, Johor-Riau ketika ini juga sudah terlibat dengan perperangan melawan Jambi, Aceh dan Belanda. Semakin lama, kuasa Kesultanan Johor-Riau semakin kecil. Naungan-naungan yang dulunya di bawah Melaka, sudah mula membebaskan diri dan berkerajaan sendiri tanpa merujuk waris kesultanan Melaka.

-          1606, Kesultanan Johor-Riau pernah bekerjasama dengan Belanda untuk menewaskan Portugis di Melaka. Belanda akhirnya menduduki Melaka. Johor-Riau akhirnya berkembang menjadi salah satu pelabuhan besar di Nusantara di bawah perlindungan Belanda. (Johor-Riau menjadi negeri Melayu yang pertama iktiraf dan akui pendudukan Belanda di Nusantara).

-          Kita pendekkan kisah Dinasti Melaka ke tahun 1699, kisah Sultan Mahmud Shah II mangkat dijulang. Ketika kemangkatannya, dikatakan Sultan Mahmud Shah II tidak memiliki waris. Maka, Bendahara Abdul Jalil mengambil alih pemerintahan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (1699-1718) sekaligus memulakan pemerintahan Dinasti Bendahara di Johor-Riau.

B.     DINASTI BENDAHARA

1.      Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV (1699-1718)

-          Dalam Kesultanan Johor-Riau, keluarga Bendahara berperanan utk melantik pengganti-pengganti Sultan dengan merujuk kepada jurai sultan tersebut. Mudah kata, keluarga Bendahara ini penjaga kesucian darah-darah diraja. Namun, selepas Sultan Mahmud Shah II tidak meninggalkan waris, Bendahara Abdul Jalil tidak ada pilihan lain selain daripada menjadi Sultan Johor-Riau bagi mengelakkan kesultanan melayu itu lenyap.

-          Memandangkan Sultan Abdul Jalil bukan daripada keturunan sultan (tidak ada kaitan Lagenda Bukit Seguntang), maka tidak semua rakyat Johor-Riau suka dengannya. Tetapi Sultan Abdul Jalil tetap teruskan menjadi sultan dan mentadbir Johor-Riau terutamanya daripada segi perdagangan (pedagang mengakui kesultanan Sultan Abdul Jalil).

2.      Raja Kechil (1718 – 1721)

-          Putera dari Siak datang ke Johor-Riau mengaku sebagai waris Sultan Mahmud Shah II dan membawa surat perakuan daripada Raja Minangkabau (Raja Minangkabau ini juga jurai daripada Lagenda Bukit Seguntang)

-          Ramai yang meninggalkan Sultan Abdul Jalil dan mengangkat Raja Kechil jadi Sultan Johor-Riau.

-          Tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, anak Sultan Abdul Jalil meminta bantuan bugis untuk mendapatkan kembali Johor-Riau (keluarga Bendahara yang menjaga kesucian darah diraja tidak percaya Raja Kechil itu waris Sultan Mahmud Shah II)

3.      Bantuan Bugis Bersaudara.

-          Dengan bantuan bugis, Dinasti Bendahara dikembalikan (selepas orang melayu tidak menerima penguasaan Bugis) Sultan Sulaiman (anak Sultan Abdul Jalil) naik takhta.

-          Raja Kechil yang kembali ke Siak banyak kali cuba serang Johor-Riau, tetapi dengan bantuan Bugis, Johor-Riau sentiasa menang.

-          1756, apabila Bugis semakin lebih berkuasa berbanding Sultan, Sultan Sulaiman minta bantuan Belanda untuk memerangi bugis di Linggi dan Rembau. Walaupun menang, Sultan Johor-Riau masih risau dengan pengaruh bugis yang masih kuat. Maka, dengan sokongan dan naungan daripada Belanda, Johor-Riau kekal aman dengan Sultan Sulaiman sebagai sultan. Bugis tidak ada pilihan lain kecuali tunduk kepada pemerintahan Sultan Sulaiman yang dinaungi oleh kuasa besar Belanda itu.

-          1835, keamanan Johor-Riau di bawah pemerintahan Dinasti Bendahara akhirnya rapuh selepas kemangkatan Sultan Hussien (1819-1835) selepas Perjanjian London 1824.

-          Perlu ditekankan di sini, ketika ini di Nusantara, British dan Belanda sudah menjadi kuasa yang paling kuat. Sedangkan Siam (kuasa Nusantara yang masih teguh) juga tunduk kepada British dan Belanda.

C.     DINASTI TEMENGGUNG

1.      Perebutan Takhta Johor-Riau

-          Selepas Sultan Mahmud Shah III mangkat, anak-anak baginda berebut takhta (Tengku Abdul Rahman & Tengku Long).

-          Secara hakikinya, Tengku Long sepatutnya dilantik menjadi Sultan Johor-Riau yang seterusnya, tetapi Yamtuan Muda Raja Jaafar (bugis) lantik Tengku Abdul Rahman jadi Sultan Abdul Rahman yang bersemayam di Lingga. Tengku Long di Singapura yang ditadbir oleh Temenggung Abdul Rahman.

2.      Perjanjian London 1824

-          Stamford Raffles datang ke Singapura untuk membuka pelabuhan. Selepas bertemu dengan Temenggung Abdul Rahman, Raffles pergi berjumpa Sultan Abdul Rahman untuk meminta kebenaran. Tetapi Raja Jaafar tidak benarkan sebab Johor-Riau ketika itu di bawah pengaruh Belanda.

-          Kembali ke Singapura, Raffles yang tahu kisah perebutan takhta Sultan Johor-Riau berjumpa dengan Tengku Long dan mengiktiraf Tengku Long sebagai Sultan Johor-Riau yang sah dengan gelaran Sultan Hussien. Temenggung Abdul Rahman kekal sebagai temenggung (Bendahara Ali di Pahang).

-          Kisah ini melibatkan pertembungan dua kuasa besar di Nusantara ketika itu. British dan Belanda. Jadi, pengiktirafan kedua-dua Sultan ini diperakui kerana kedua-dua kuasa yang mengiktiraf ialah kuasa besar.

-          Tidak berpuas hati, VOC Belanda cuba berperang dengan EIC British. Tetapi perperangan tidak berlaku kerana Belanda dan British di Eropah setuju untuk tandatangan Perjanjian Inggeris Belanda 1824.

-          Maka, tamatnya Empayar Johor-Riau, dan bermula Kesultanan Johor dan Kesultanan Riau-Lingga.

3.      Bermula Dinasti Temenggung

-          1840, Sultan Hussien mangkat, dan anak baginda Raja Ali cuba dilantik menjadi Sultan Johor. Tetapi, British tidak mahu kerana ketika itu Sultan Ali hanya berusia 11 tahun, dan ingin melantik Temenggung Abdul Rahman menjadi Sultan.

-          Sebagai Temenggung, Abdul Rahman berbincang dengan British untuk melantik Sultan Ali agar tidak berakhir Kesultanan Johor di situ. British setuju. 1855, akhirnya Sultan Ali dilantik sebagai Sultan Johor tetapi baginda hanya berkuasa di bahagian Kersang. Kawasan selebihnya, British arahkan Temenggung Abdul Rahman tadbir (Persetiaan 1855 – permulaan Dinasti Temenggung)

-          1877, Sultan Ali mangkat. Kali ini British bertegas untuk tidak melantik putera Sultan Ali (Tengku Mahmud & Tengku Alam) kerana British tidak melihat kepentingan tersebut.

-          Ketika ini sudah tidak ada keluarga Bendahara yang menguruskan urusan pelantikan Sultan. Bendahara Johor-Riau yang terakhir telah dihantar ke Pahang. Apabila Johor-Riau hancur, Bendahara di Pahang pun memerintah Pahang tanpa naungan sesiapa. Jadi, sebagai kuasa besar di Nusantara ketika itu (dan Johor berada di bawah jajahan takhluknya), British berhak menentukan pengganti sultan yang seterusnya.

-          Maka, British melantik Tun Abu Bakar (anak kepada Daeng Ibrahim yang merupakan anak kepada Temenggung Abdul Rahman) sebagai Sultan Johor secara rasmi pada 1886.

-          Bermula daripada Sultan Abu Bakar (Maharaja), Dinasti Temenggung memegang tampuk pemerintahan Kesultanan Johor di bawah naungan British. Sultan Abu Bakar telah mengubah dan memodenkan Johor secara bekerjasama dengan kuasa-kuasa Barat bagi mengelakkan Kesultanan Johor dijajah oleh kuasa-kuasa barat walaupun akhirnya selepas zaman Sultan Ibrahim, Kesultanan Johor semakin tidak mampu mengekang British. Sehingga ke hari ini, Dinasti Temenggung menduduki Kesultanan Johor.

KESIMPULANNYA…

Kisah Kesultanan Johor memang dinamik dengan perubahan dinasti-dinasti pemerintah sehingga banyak manuskrip yang ditulis untuk mencatatkan dinamiknya kesultanan ini – dan menjadi rujukan para sejarawan kini. Walaupun pernah wujud tuntutan daripada Raja Kechil yang mengaku sebagai waris Sultan Mahmud Shah (seperti yang dicatatkan dalam Hikayat Siak), namun sejarawan berpendapat kisah tersebut ditulis untuk menghalalkan tuntutan (devine right) Raja Kechil (kerana Hikayat Siak ditulis dengan jelas Siak-Sentrik).

Jadi, sama ada Kesultanan Johor kini sah atau tidak, rasanya sudah jawab dalam lambakan fakta di atas. Silakan buat kesimpulan sendiri.

 

SUMBER :

Pensejarahan Melayu Johor oleh Mardiana

Sulalatus Salatin.

Pusat2 pemerintahan Johor, UM

Andaya, Winstedt, Buyong Adil…. 

Comments