Skip to main content

PEWAI DI GUNUNG PULAI

Cerita tentang Gunung Pulai, Baling, Kedah. Baiklah. Bagi aku, ini kisah yang sesuai dipanggil sebagai satu Kifarah yang Allah bagi kepada kami secara tampak. Mengapa saya panggil kifarah? Teruskan membaca. Jawapannya ada di bawah.

Perancangan ke Gunung Pulai dimulakan oleh Ndokfdh. Kami yang menggelarkan diri kami sebagai #GengHatikuSado berancang untuk berpre-convo di puncak Gunung Pulai. Perancangan dimulai seawal dua bulan lagi sebelum kami memulakan pendakian. Sepanjang perancangan, kami banyak bertanya dengan otai-otai hikers yang lain. Rata-rata mereka mencadangkan kami melantik malim gunung (guide). Tapi masalahnya, aku boleh katakan kami agak takbur.

“Alaaa.. Pulai je kot!. Baling pun kami naik tanpa guide.” 
Infact, setiap kali hiking, kami memang lebih prefer untuk tidak menggunakan khidmat guide. Bagi kami, kurang seronoklah jika ada orang lain yang turut serta selain daripada kami #genghatikusado.

“Tapi Pulai berbeza. Kamu wajib ambil guide. Treknya banyak dan mudah sesat. Pulai tu sesuatu sangat. Kalau gunung lain bolehlah kamu naik tanpa guide. Tapi Pulai, jangan! Kena ambil guide.” 
Antara inti nasihat para otai hikers apabila kami suarakan keinginan kami naik Gunung Pulai tanpa guide. 

Proses mendaki Gunung Pulai, Baling, Kedah lebih mudah berbanding gunung-gunung lain yang kebanyakkkannya memerlukan perdaftaran dan pembelian permit. Gunung Pulai boleh je naik ikut suka. Tetapi. Trek Gunung Pulai “sesuatu” sangat. Otai-otai hikers yang aku kenal juga meluahkannya.

“Pulai ni sekali seumur hidup je la. Nak repeat tunggu bila mental betul-betul stabil dan yakin nak repeat.”
Sedangkan otai-otai hiker sendiri yang cakap macam tu, apatah lagi kami yang baru bertatih dalam arena pendakian di Malaysia ini.  Maksudnya trek Pulai ni memang jahat sangat! Tetapi sekali lagi.. 
“Alaaa.. Pulai je kot! Tak jauh beza dengan Baling.” 
Tak! Beza dan sangat berbeza. Pulai lebih jahat berbanding Baling.
Demi hormat kepada pendapat otai-otai hikers, kami ikhtihar untuk mendapatkan seorang guide. Ndokfdh yang menjadi thinker kepada ekpedisi kali ini. Jadi dia yang bertungkus-lumus mencari guide. Pada awalnya, dia berjaya dapat seorang kawan (yang pernah mendaki Pulai-tapi bukan guide) tetapi tiba-tiba not available di saat-saat akhir. Oleh sebab gian nak berpre-convo di atas gunung, kami simpan di belakang telinga nasihat otai-otai dan gigih menuju ke Gunung Pulai tanpa guide.

Aku teringat teguran salah seorang ahli kami – Gyad.

“Kamu tu mau konvo okey, kenapalah mau hiking lagi? Kalau jadi apa-apa susah kamu?”
“Gyad, kami ini hikers. Kami sudah biasa pewai lepas hiking dan kemudian sambung buat aktiviti lain. Lagipun Pulai je la. Tidak sampai satu kilometer pun.” 
Aku menjawab dengan bongkak. 
Silap kami yang seterusnya, apabila ramai 5/6 daripada kami tidak memaklumkan kepada ibu bapa kami tentang ekpedisi ini. Mindset: Kalau kami beritahu, for surelah tak kan diizinkan. So kita pergi je lah. Tak pe. Pulai je kot!.
.
Daripada unjuran cerita ini, jelas ketakburan dan kebongkakan di hati masing-masing di samping memandang mudah kepada kejahatan Gunung Pulai, Baling, Kedah. Teruskan membaca.

Sedikit fakta tentang Gunung Pulai, Kedah.
Ketinggian gunung ini hanyalah 610 meter sahaja. Agak rendah sebenarnya. Tapi dipanggil gunung kerana struktur batu kapurnya dan laluan yang lebih mencabar berbanding sesetengah gunung lain yang ada di Malaysia. Bagi aku, laluannya hampir menyerupai laluan ferrata Gunung Kinabalu, tetapi lebih mudah berbanding ferrata. Pulai adalah gunung berkembar dengan Gunung Baling. Pandangan puncak adalah 360 darjah. Puncak Gunung Baling pun jelas kelihatan dari puncak Pulai. Dari kaki gunung sehinggalah ke puncak gunung adalah batu-batuan. Hatta pokok-pokok yang tumbuh pun hanya berdiri di atas batu kapur atau dicelah-celah batuan tersebut. Pokok-pokok yang tumbuh di kawasan batu kapur ini semua rendah dan tidak dapat meneduhkan laluan ke puncak. Panas dan tersangatlah panas. Kulit burn jangan cerita. Sepanjang laluan, Pulai akan menghidangkan anda dengan batu-batu kapur yang tajam dan sesetengahnya tidak kukuh (mudah terjatuh jika dipijak). Jadi, pakailah sarung tangan dan sunblock kalau nak jaga kulit. Oh, ya! Sila bawa air 3 liter seorang. Jangan kongsi. Sebab tak kan cukup. Tapi kalau nak dehidrasi, silakanlah.

Baiklah.
Berbalik kepada cerita pengalaman Pewai di Gunung Pulai kami.
Kami tiba di pekan Baling seawal pukul 4.00 pagi. Niatnya memulakan pendakian seawal 4.30pagi kerana ingin mengejar sunrise. Mendaki di Pulai, kami tidak bersendirian. Sejak awal pendakian lagi kami sebenarnya sudah dihalang untuk naik oleh ‘sesuatu’. Pulai memang sesuatu sangat!.
Dengan berpandukan waze, kami menuju ke kaki Gunung Pulai. Tetapi kami tak jumpa. Akhirnya, Nirk bertanya kepada orang kampung yang masih jaga (sedang membaiki kereta).

“Tumpang tanya bang. Pintu masuk Gunung Pulai yang mana satu ye?”
“Korang dah jauh terlepas ni dik. (What?? Kami follow waze kot)Tak pe, abang tunjuk.” Dan kami dengan gigih mengikuti abang (yang bernama Farhan –so kami panggil Abang Paan)

Setibanya di kaki Gunung Pulai, Abang Paan bertanya mana guide kami.
“Kami tak pakai guide bang.”
“Tak pakai guide? Kamu ni biar betul?”
Kami hanya tersenyum dalam gelap. Akhirnya Abang Paan akur dan berusaha untuk menghantar kami ke pangkal laluan Gunung Pulai. (For record, Abang Paan adalah orang kampung situ yang memang dah biasa mendaki.) Hampir setengah jam kami mencari pintu masuk, tetapi tidak jumpa pintu masuk. Abang Paan berulang-kali bertanya sama ada kami serius nak mendaki tanpa guide. Kami dengan berkobar-kobar jawab ya.

“Orang nak datang melawatlah. Kau nak tutup jalan kenapa?” ujar Abang Paan sambil memandang ke kaki gunung. 
Seraya Abang Paan menanggalkan bajunya lalu memasang kekuda (seakan bersilat) sambil membaca ‘sesuatu’. Kami hanya memerhati.

“Dia tak izinkan masuk sini. Tak pe, kamu masuk ikut Gua Lelayang.” Kami masih akur.

“Laluan yang kamu akan masuk ni, orang jarang guna. Sebab laluan ni susah. Kamu serius nak masuk ni?” Tanya Abang Paan lagi. Ketika itu jam dah menunjukkan pukul 5.00 pagi.

“Masuk  je.. laluan begini (yang tidak berbatu kapur) hanya dalam 50 meter sahaja. Nanti bila dah masuk dalam, ambil corner kiri, kanan, kanan. Nanti kalau tak jumpa jalan call abang.” 
Kami saling bertukar nombor telefon. Di Gunung Pulai, rangkaian celcom sangat lancar.

Lega. Kami memulakan pendakian dengan hanya berbekalkan headlamp. Tidak sampai sepuluh minit kami di dalam Gunung Pulai, adegan sesat bermula.

“Tak boleh lalu kirilah. Tak de laluan.” Mirza yang menjadi guide terjun bersuara.
“Tadi abang tu cakap kiri, kanan, kanan kan?”
“Kita terlepas simpang kot.”

Kami berlegar-legar dalam ruang yang sama sambil mencari laluan seterusnya. Di hadapan ada batu tunggul yang sangat besar. Ke kanan juga bertemu batu tunggul yang sama (kecuali ada tangga buluh yang disediakan untuk memanjat batu tersebut. Ke kiri pula, gaung. Akhirnya kami duduk berfikir sehingga azan subuh berkumandang.

“Agaknya kena naik tangga tu kot.!”
“Tapi ada laluan ke di atas tu?”
“Cuba call Abang Paan.”
____________

“Bang, kami tak jumpa jalan dah ni bang.”
“Alamak, abang dah kat luar dah ni. Okey tak pe. Abang balik tukar baju dulu. Kamu tunggu situ.”

Sambil menunggu Abang Paan, kami mengerjakan Solat Subuh di bawah batuan tunggul gergasi itu. Lebih kurang pukul 6.45 pagi, Abang Paan menghubungi kami.

“Kamu dah jauh kat dalam ke?”
“Tak jauh pun.”
“Okey, kalau macam tu turun semula.”

Setibanya di kaki Gunung Pulai, sekali lagi Abang Paan bertanya soalan yang sama.
“Kamu masih nak teruskan mendaki?” dan kami masih mengangguk dengan semangat. Orang nak pre-convo kot!
“Okey, kalau macam tu kita naik sama-sama”
Sepanjang pendakian ke atas, tidak ada sebarang apa-apa masalah yang berlaku. Hanya laluan trek yang mencabar sahaja melambatkan pergerakan kami. Ditambah lagi dengan karenah kami yang suka merakamkan aksi masing-masing untuk dijadikan Polaroid Pulai. Betullah apa yang Abang Paan kata, laluan yang kami lalui memang sangat jarang dilalui oleh pendaki-pendaki lain. Bahagian pendakian yang paling mencabar apabila kami terpaksa melintasi batu gergasi dengan hanya berpijak di atas dahan pokok yang kecil. Sebagai sweeper, aku memang terpaksa menjadi orang yang terakhir untuk melalui dahan tersebut -  dan dahan itu patah! Nasib baik tiada apa-apa yang buruk berlaku.
Perjalanan kami sangat lambat kerana kami banyak berhenti sehingga akhirnya kami sendiri tidak sedar bahawa sudah hampir tengah hari tetapi kami masih belum sampai ke puncak. Sepanjang pendakian, sejujurnya aku sudah merasakan sesuatu yang agak janggal kerana kami tidak menemui sebarang penanda bahawa laluan yang kami naiki adalah laluan yang betul.

Abang Paan ni biar betul? Seingat aku, adik Nirk kata sepanjang laluan Pulai sudah ditandai dengan botol sebagai petunjuk laluan. Jadi, sepanjang laluan kami hanya perlu mencari botol-botol tersebut. Pada awal pendakian tadi, memang aku ada ternampak botol-botol yang dimaksudkan, tetapi lama-kelamaan botol-botol itu sudah tidak kelihatan. Bahkan trek yang kami lalui kelihatan dara sangat.
“Tak pe, kita buat laluan sendiri. Nanti kita namakan laluan tu dengan nama kita.” Abang Paan berseloroh.
“Yang penting kita sampai puncak bang.” Ujar kami.
Ya, memang tujuan kami hendak sampai puncak. Hendak menyarungkan jubah konvo di puncak Pulai menghadap ke Gunung Baling. Tetapi kalau dah laluan dara seperti ini menyebabkan perjalanan kami menjadi sangat perlahan. Mengharungi batu-batuan kapur yang besar dan tajam. Kemudian kena menyeberangi gaung-gaung dan lubang yang ada diselangi dengan pokok-pokok menjalar yang berduri turut menyebabkan perjalanan kami semakin perlahan. Bekalan air yang kami bawa pun sangat tidak cukup. Untuk enam orang, kami hanya berbekalkan 6 liter air sahaja. Sepatutnya (menurut nasihat para otai), seorang 3 liter air untuk mendaki Pulai.

Pukul 11.30 tengah hari. Kami masih belum bertemu dengan puncak. Hanya kelibat Jalur Gemilang sahaja yang menjadi panduan. Ketika ini, mental masing-masing dah mula koyak. Tetapi kami masih menggagahkan diri untuk sampai ke arah Jalur Gemilang yang berkibar. Sepanjang perjalanan, panasnya matahari tidak perlu untuk digambarkan. Panas memang panas. Kami dah tidak peduli muka burn ketika hari konvokesyen kami. Alang-alang mendaki Pulai, biar hitam yang penting mission accomplish. Lebih kurang pukul 12.00 tengahhari, kami tiba di Jalur Gemilang. Memang puncak Gunung Pulai. Tetapi bukan puncak yang kami harapkan (puncak yang mengunjur ke Gunung Baling). Puncak yang kami tiba dengan puncak yang kami harapkan dipisahkan oleh satu gaung dan laluan berbatu. Jarak perjalanan ke puncak yang satu lagi mengambil masa lebih kurang setengah jam.. dannn. Kami dah tak larat! Cukuplah dengan puncak ini. Pemandangannya pun dah cukup indah.

Di puncak, kami berehat makan dan minum lebih kurang setengah jam. Sambil cuba untuk berteduh di mana-mana bayang pokok (yang semua rendah). Puncak Gunung Pulai sangatlah panas kerana tidak ada pokok-pokok tinggi yang sesuai menjadi tempat teduhan.Di kejauhan,kami melihat awan hujan di pekan Baling -  dan awan itu sedang bergerak ke arah kami. Dengan pantas kami cuba menyelamatkan jubah dan alatan elektronik masing-masing agar tidak kehujanan. Tetapi, apabila awan hujan itu semakin menghampiri Gunung Pulai, hujan-hujan yang kelihatan lebat dari jauh tiba-tiba hilang. Hanya awan yang kelihatan. Agaknya air hujan dalam awan itu dah habis.
“Tangkap gambar wei, sia-sia kita naik lima jam kalau tiada apa-apa gambar.” Omelan kami. 
Dalam keadaan penat, kami pun gigih menyarungkan jubah masing-masing. Sesi fotografi pun bermula. Lebih kurang pukul 1.45 tengah hari, perjalanan turun dimulakan. Abang Paan yang menjadi guide kami tanpa sengaja memulakan penjalanan.
Bagi aku, perjalanan turun jauh lebih mencabar berbanding perjalanan naik. Nyawa ketika menuruni puncak Pulai ibarat telur di hujung tanduk. Kami terpaksa menuruni batu-batu kapur yang rapuh, tajam dan mudah tergelongsor ke bawah. Silap langkah sikit sahaja boleh menyebabkan kaki tergelincir jatuh dan mungkin nyawa akan melayang jika terhempap ke batu. Seram jika difikirkan. Dari puncak gunung juga, kami dapat melihat kaki gunung dan kawasan perkampungan di sekitarnya.

Sejam berlalu. Kami masih menuruni kawasan berbatu. Ujian sebenar baru bermula apabila bekalan air sudah habis ditambah lagi dengan teriknya matahari dan kedudukan kami yang berada di atas batu. Sejam lagi berlalu. Aras pandangan kami ke kawasan kaki gunung masih sama dengan pandangan di puncak. Seolah-olah kami belum bergerak menuruni puncak tersebut. Abang Paan pesan, jangan tengok kaki gunung. Dia mengarahkan kami fokus kepada sebatang pokok yang tinggi berbanding yang lain kerana pokok itu menandakan kami sudah menghampiri kaki gunung.
Akur dengan saranan Abang Paan, kami melawan segala kepenatan dan kehausan yang dirasai kerana kami optimis kami akan sampai di kaki gunung. Ketika ini, mental masing-masing masih kuat. Pewai tak pewai, kami masih gagahkan diri menuruni cerun gunung yang curam. Selesai penderitaan melalui kawasan panas batu-batu kapur dari puncak, kami terpaksa memasuki kawasan belukar yang berduri untuk sampai ke pokok penanda yang dimaksudkan. Duri-duri yang menyambar tubuh dah tidak dipedulikan. Paling penting ketika itu, kami nak sampai kaki gunung dengan cepat dan pulang ke Pulau Pinang untuk graduasi. Tetapi....

Sekitar pukul 4.00 petang. Kami semakin mendekati kawasan pokok penanda tersebut. Kelibat pokok tersebut kelihatan semakin jauh. Dan apabila kami tiba di kawasan pokok tersebut, pokok itu tidak kelihatan. Yang ada hanyalah tiga pokok mengkuang yang besar tumbuh sebaris. Di belakang barisan pokok-pokok mengkuang tersebut hanyalah semak-samun yang berduri-duri tajam. Abang Paan mengarahkan kami berpatah balik dan membuat lencongan ke kanan. Masing-masing sudah faham apa yang berlaku, tetapi masing-masing memilih untuk diam dan mengikut sahaja arahan Abang Paan. Usai dari kawasan pokok-pokok mengkuang gergasi tersebut, kami terpaksa melalui kawasan rotan yang berlingkar. Awat susah sangat wahai Pulai oooiii? 

Masuk pukul 5.00 petang, masing-masing sudah tidak mampu bertahan. Dehidrasi, lapar, haus dan penat. Mental kami dah mula koyak. Tak mampu menggagahkan diri sendiri. Bahkan untuk mengesot sahaja sudah mula tidak mampu. Sebagai sweeper, aku acap kali mendengar bunyi tapak kaki di belakang aku. Kadang-kadang kedengaran seperti orang sedang berlari meluru ke arah kami. Apabila aku pusing belakang, tiada apa-apa. Bahkan angin yang bertiup pun tidak kelihatan. Cuma aku sendiri dapat merasakan ada ‘sesuatu’ yang sedang mengekori aku dari belakang. Ketika berehat di bawah lingkarang rotan, aku dapat merasakan ‘sesuatu’ sedang bersandar atau duduk di bahu aku. Seram siakkk.
“Kita dah dekat dengan sungai dah.” Jerit Abang Paan. 
Ya, memang ketika itu, kami mendengar bunyi sungai berbalam-balam. Maksudnya kami sudah hampir dengan kaki gunung. Langkah diatur menuju ke arah bunyi sungai tersebut (kerana sungai akan mengalir ke kawasan kaki gunung). Namun, semakin dicari, semakin kelam bunyi air sungai itu dan akhirnya hilang. Ahhh... sudah! Beralih ke petunjuk seterusnya, dari kedudukan kami, kami dapat melihat sawah padi dan rumah-rumah kampung. Kami menuju ke sana dengan harapan akan segera sampai ke kaki gunung kerana sawah padi itu kelihatan tidak jauh. Pukul 6.30 petang, kami tiba di tebing cerun. Dari tebing cerun tersebut, kami dapat melihat sawah-sawah padi yang menjadi petunjuk kami tadi. Perasaan ketika itu adalah kempunan.Ya, kempunan. Kempunan bertemu sawah padi. Ibarat kau dah melihat cinta hati mu tetapi kau tidak mampu untuk mencapainya. Antara kawasan sawah padi dengan kami, kami dipisahkan oleh cerun bersudut 85 darjah yang setinggi lebih kurang 50 meter (menurut orang kampung). Hampa rasa hati ketika itu Tuhan sahaja yang tahu. Putus asa dan sangat putus asa. Tidak sanggup dan tidak larat lagi untuk meneruskan perjalanan.
“Abang, panggillah JPAM abang.”
“Kalau kamu panggil JPAM, bukan setakat kamu yang akan kena, abang pun akan kena sebab bawa kamu naik tanpa persediaan yang cukup. Kamu juga akan masuk berita. Viral.”
Apa yang Abang Paan katakan itu ada betulnya.Tak pasal-pasal kami akan menjadi headline “6 Orang Pelajar USM sesat di Gunung Pulai kerana berpre-convo,” atau paling teruk pun “6 Bakal Graduan USM sesat di Gunung Pulai.”

Awatlah hangpa bengap sangat dok beria nak pre-convo kat Gunung Pulai? Orang lain rilek jak pre-convo area USM dan Penang untuk pre-convo. Yang hangpa pi ketegaq sangat nak pi Pulai pasaipa? Kami naik Pulai bukan sebab nak nampak rare berbanding yang lain.Tetapi, ini adalah minat kami. Cuma kami sahaja tidak menyangka benda seperti ini akan berlaku. Pendakian yang dijangkakan akan berakhir sebelum asar akhirnya melarat sehingga ke usai Isyak.
“Kalau boleh dapat air minum rasanya kami boleh teruskan jalan kot. Yang penting dapat minum.” Mirza kata. 
Ya betul. Kami pewai namatey sebab dehidrasi sangat. Tidak pernah aku alami sedehidrasi ini yang apabila kau tutup mata, kau akan terbayang air sungai mengalir. Tekak pun terasa perit sangat. 
“Milo ais..milo ais..” Nirk menjerit. 
Aku yakin dia sedang cuba menghiburkan hati. Aku ketika itu, tidak mampu untuk bersuara.
“Rehatlah dulu, nanti akan ada orang yang ambil kita ke atas.” 
Alhamdulillah. Kami memang sudah tidak mampu untuk bergerak. Masing-masing merebahkan diri di atas rumput (nasib kami dah melepasi laluan berbatu). Tidak kisahlah baring di atas mana. Yang penting baring dan tutup mata. Dari arah perkampungan, kedengaran sayup-sayup azan maghrib berkumandang. Hujan menitik sedikit sahaja. Aku tidak tahu bagaimana kawan-kawan yang lain. Tetapi aku sendiri mengangakan mulut dengan harapan air hujan dapat membasahkan tekak. Tetapi hujan yang turun pun seperti hidup segan mati tak mahu. Tiba-tiba Gyad bersuara.
“Mirza, masih ada ruang kah sebelah mu?”
“Ada.”
Giyad beralih ke tepi Mirza. Menurutnya, di kawasan perbaringan sebelum ini, dia melihat kelibat sesuatu yang berwarna putih.
Aku. Sukar untuk bertenang. Ada sahaja yang serba tidak kena. Seperti ada benda yang mencucuk-cucuk dari bawah. Aku salahkan ranting atau akar-akar kayu.  Apa yang pasti, aku haus dan nak minum, tak mampu nak bergerak.

Senja telah melabuhkan tirainya. Sayang, kerana pewai namatey kami tidak mampu untuk menghayati keindahan senja. Sedangkan dari pinggir cerun tersebut, senja kelihatan sangat lawa. Tetapi kami memilih untuk baring menutup mata sementara menunggu bantuan tiba. 
Azan Isyak berkumandang. Kami masih baring dalam gelap malam. Abang Paan mengarahkan kami mematikan lampu. Lebih kurang pukul 8.30 malam, kami mendengar suara orang kampung menjerit nama Abang Paan. Mirza yang tersedar awal segera mengejutkan Abang Paan. Isyarat lampu kecemasan dimainkan sebelum mendapat balasan daripada penyelamat kami. Beberapa minit kemudian, bantuan sampai dengan beberapa botol air mineral. Alhamdulillah. Suasana yang senyap menjadi riuh. Masing-masing menunjukkan rasa simpati dan menghulurkan bantuan. Satu pengalaman yang sangat mahal yang tidak mungkin kami lupakan. Rescue Mission by Penduduk Baling.

Tatkala air memasuki ruang tekak, serta merta peluh dingin membasahi tubuh. Ketika itu baru perasan bahawa badan kami kurang berpeluh kerana kekurangan air dalam badan. Kami menuruni Gunung Pulai melalui cerun yang ada hadapan kami. Dengan berbekalkan tali, kami dibantu menuruni cerun. Dalam rescue mission ini, sempat lagi kami diusik oleh ‘sesuatu’ yang menemankan kami sejak awal pendakian lagi. Batu-batu dengan sendiri tergelincir ke bawah dan hampir menghempap aku dan Mirza (yang lebih awal turun). Alhamdulillah. Setiap kali selesai menuruni satu tali, kami diberi air minum untuk menghidratkan diri sehinggalah kami tiba di kaki gunung. Secara tepatnya pukul 9.45 malam.

Setibanya di kaki gunung, alangkah terkejutnya kami apabila melihat ramai orang kampung yang menyambut kami. Masing-masing mengukir senyuman dan menghulurkan tangan. Entah berapa banyak motor dan kereta yang sanggup meredah belukar untuk menyambut kami. Terharu dan teruja. Tetapi yang penting kami sudah selamat tiba di kaki gunung. Kami di bawah ke rumah Tok Wan Abang Paan untuk membersihkan diri dan mengalas perut. Sekian pengembaraan. Kami dapat kenalan baru lagi. Best.

Banyak yang dijadikan pengajaran dan sempadan sepanjang kejadian ini. Semuanya sudah dinyatakan di atas. Alhamdulillah kami semua sudah selamat tiba di kaki gunung dan berjaya menghadiri majlis graduasi masing-masing. Akhirnya, secara rasmi semua ahli #GengHatikuSado sudah berjaya memegang sijil sarjana muda masing-masing. Alhamdulillah. 

Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang pernah memberi nasihat. Maafkan kami kerana membelakangkan nasihat anda. Kisah ini hanyalah sedikit perkongsian yang diharap akan menjadi pedoman kepada mana-mana yang ingin menaiki Gunung Pulai, Baling, Kedah. Ingatlah, Gunung Pulai itu ‘sesuatu’ sangat.

Selepas kisah Gunung Pulai ini, terdetik hati untuk berehat daripada arena pendakian ini. Tetapi why bother? Allah dah beri pengalaman dan ilmu untuk berdepan dengan situasi seperti ini (yang mungkin akan berlaku di tempat lain) mengapa hendak dijadikan alasan untuk berhenti memburu keindahan ciptaan ALLAH di kawasan tanah tinggi? Trauma? Tidak sama sekali. Cuma bersyukur dikurniakan pengalaman dan pengajaran seperti ini.

Assalam.

Polaroid Pulai kami boleh saksikan di sini..!
Dijemput menonton:-

Comments