Skip to main content

INDAHNYA PURDAH DI MATA SAYA.

Secara peribadi, sebagai seorang lelaki aku suka dengan perempuan yang berpurdah. Suka yang macam mana? Suka melihat kesungguhan mereka untuk menjaga maruah mereka sebagai seorang wanita. Sungguh aku sebenarnya malu a.k.a tidak berani menatap mata mereka yang mengenakan purdah. Kenapa?
Entah.. bagi aku mereka yang mengenakan purdah ini sangat berani dan tegas berprinsip. Takkk.. sebenarnya aku malu nak lawan pandangan sebab aku rasa iman mereka lebih tinggi berbanding aku. Agak klise jugalah sebab ni. Lagipun, apabila wanita ini berpurdah, mata mereka sahaja yang akan menjadi tumpuan. Dah memang jenis aku tidak selesa menatap mata perempuan ni. Tak pasal-pasal terjatuh cinta. Macam Kajol dalam Dilwale. Matanya lebih cantik. Okey mengarut.Lagipun tak elok janabi bertentangan mata. Hahaha.

Alhamdulillah. Di USM ramai kawan-kawan yang awal kenal di Tahun Satu hanya biasa-biasa akhirnya mengenakan purdah beberapa bulan kemudian.
Bahkan kawan dari bangku sekolah menengah juga akhirnya ada dua orang yang mengenakan Purdah.
Terima kasih USM kerana tidak menghalang para muslimah berpurdah. Semoga mereka terus istiqamah dalam berpurdah.

Aku dan purdah sebenarnya tak banyak attachment sangat. Iyalah. aku kan tak berpurdah. Cuma pengetahuan tentang purdah ini diperoleh melalui sedikit perkongsian pengalaman mereka yang berpurdah. Baik daripada kawan-kawan sendiri, pembacaan mahupun kawan kepada abang saudara yang pernah melanjutkan pengajian ke Al-Azhar.

Alhamdulillah. Sebenarnya ramai yang ingin mengenakan purdah ini. Cuma belum bersedia katanya. Persoalannya mengapa rasa tidak bersedia ini wujud.
Budaya masyarakat Malaysia itu sendiri yang menyebabkan rasa tidak bersedia ini wujud. Stereotaipnya orang Malaysia mengatakan wanita berpurdah ini tinggi ilmu agamanya. Malah ada yang mengatakan berpurdah ini pakaian orang Arab. Jadi sesiapa yang berpurdah kena tempias Arabisasi.Ini lawak aku rasa.Stigma seperti inilah menyebabkan mereka yang ingin memakai purdah dan merasakan ilmu agama mereka masih cetek dan banyak yang perlu mereka pelajari berasa tidak bersedia untuk berpurdah. Dek kerana pemikiran stereotaip inilah yang menyebabkan mereka merasakan mereka perlu bersedia (memiliki ilmu agama yang lebih banyak) untuk mengenakan purdah.
Okey. Sebenarnya bagi aku hal ini kurang manis difikirkan kerana purdah itu sebenarnya bukan pakaian untuk wanita yang memiliki ilmu agama yang tinggi dan jauh sekali pakaian orang Arab semata-mata.
Purdah, pakaian yang membantu wanita untuk mematuhi perintah ALLAH dan melindungi diri sendiri. Mengapa? Cuba kita perhatikan ayat-ayat ini. Allah menyentuh soal wanita banyak kali dalam Al-Quran.Bahkan kerana istimewanya wanita, satu surah dalam Al-Quran diabadikan dengan nama surah wanita iaitu Surah An-Nisa (4:1-176).

Untuk menjelaskan tentang purdah, aku menggunakan petikan ayat di bawah yang dipetik daripada Surah al-Nur ayat 31. Petikan ayat ini juga sebenarnya yang menjadi asas perdebatan para jumhur ulama daripada keempat-empat mahzab tentang pemakaian purdah ini.
-:: " ...dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka kecuali kepada mahramnya.." (24:31)

-:: Rasulullah SAW bersabda; “Berhati-hatilah kalian daripada godaan dunia, dan waspadailah terhadap wanita, sebab fitnah pertama yang menimpa Bani Israil adalah fitnah wanita” – Hadis Riwayat Muslim”
-:: dan juga hadis ni “”Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi seorang lelaki daripada (fitnah) wanita.” – Hadis Riwayat Bukhari.

Hadis-hadis ini selari dengan apa yang dinyatakan dalam Mahzab Syafie.

Kata Imam Nawawi dalam al-Majmuk Syarah al-Muhazzab:
"Dan haram lelaki yg baligh melihat aurat perempuan yg merdeka yg ajnabi, demikian juga (haram melihat) muka dan kedua tapak tangannya ketika takut ‘Fitnah’(merangsangkan nafsu ) dan begitu juga hukumnya ketika aman drp fitnah (ternafi/ketiadaan fitnah) atas pendapat yg sahih.”

Berdasarkan teks Imam Nawawi tersebut, dinyatakan bahawa Mazhab Syafie berpendapat tentang aurat perempuan di hadapan lelaki ajnabi:

"Aurat perempuan di hadapan lelaki ajnabi adalah keseluruhan badan termasuk muka dan kedua2 tapak tangan. Ini adalah pendapat Syeikh Muhammad Ramli dan kebanyakkan ulama muktaakhirin Mazhab Syafie"

Tak dinafikan bahawa, zaman kita zaman fitnah. Mata lelaki sangat berbahaya.Kecantikan wajah wanita mampu menyebabkan para lelaki tenggelam dalam bisikan Syaitan. Yang nampak comel/cantik akan menjadi perhatian. Dah banyak page dalam facebook ini yang mengumpulkan gambar-gambar wanita cantik dan akhirnya menjadi perbualan antara lelaki berhidung belang. Menyeramkan sebenarnya bagi seseorang wanita. Dan, sebagai lelaki, aku tahu bagaimana mata lelaki berfungsi. Kerana itulah Mahzab Syafie menganjurkan wanita menutup wajahnya apabila bertemu dengan ajnabi. Demi kehormatan diri sendiri juga sebenarnya.

Berkaitan dengan perhiasan wanita yang dinyatakan dalam Surah 24:31, para jumhur ulama juga memiliki perbezaan pendapat tentang ini. Ada yang mengatakan bahawa perhiasan tersebut merangkumi celak, make-up, gelang dan apa-apa yang hiponim dengan perhiasan wanita. Tapi Mahzab Syafie menyatakan bahawa wajah wanita juga termasuk dalam perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat 24:31 tersebut. Mengapa? Apa maksud perhiasan? Fungsi perhiasan? Untuk mencantikkan bukan? Okey, muka wanita ini salah satu aspek kecantikan yang mengundang fitnah.Wajah/Muka yang perhiasan paling utama bagi seseorang wanita.

Aku teringat cerita abang saudara yang pernah melanjutkan pengajian ke timur tengah. Di sana, pelajar-pelajar wanita dari Malaysia yang berasa malu kerana tidak mengenakan purdah kerana kebanyakan wanita di sana berpurdah. Kerana apa? Kita melihat pemakaian purdah bagi mereka sebagai satu perkara biasa. Pemakaian purdah tersebut sebenarnya untuk memenuhi tuntutan-tuntutan yang dinyatakan dalam ayat di atas.Bukan kerana purdah itu pakaian wanita Arab sahaja.

Wanita dan Purdah. Kamu membawa imej Islam yang lebih tinggi berbanding yang lain.
Mengapa? Sebab pemakaian purdah menunjukkan bahawa kamu betul-betul menjaga apa yang sangat dituntut oleh Islam untuk ditutup.
Bahkan purdah yang kamu pakai banyak kelebihannya.
Memanglah tidak dinyatakan secara tampak dalam Al-Quran tentang seruan memakai purdah bagi muslimah, cuma purdah itu melengkapkan perintah ALLAH yang dinyatakan dalam surah-surah yang lainnya.

PURDAH. Fahamilah fungsi dan tujuannya.

Secara umum, purdah berfungsi menutup/ mengelakkan ajnabi tertarik untuk melihatnya. Hikmahnya menyelamatkan diri wanita daripada fitnah, dari kejahatan-kejahatan lelaki yang memandangnya, serta dapat menghindarkan rasa ujub, mendidik rasa taqwa dan rendah diri untuk lebih dekat dengan ALLAH.

Apabila berpurdah, pasti akan ada orang yang melihat, tapi bukan kerana tarikan yang menarik padanya. Tapi kerana dia menutup muka (yang bukan budaya dalam negara) dan kerana dia ada di hadapan mata.'Kerana dia menutup muka' sebenarnya hanya kerana pemakaian purdah itu janggal dalam masyarakatnya.

Apabila purdah diaduni fesyen dan trend semata-mata. Objektif dan fungsi purdah yang sebenar boleh hilang. Purdah kelak cuma akan menarik perhatian kerana perhiasan berlebihan dan solekan yang tebal.Seelok-elokknya purdah itu tidak usahlah bercolour-block ataupun terlalu lilit sana sini ala-ala pashmina. Semakin berseni fesyen purdah kamu buat, semakin tertariklah para lelaki untuk melihat kamu. Mana taknya. Kain setempek yang menutupi muka memiliki warna yang lebih striking berbanding warna tudung. Jelas menarik perhatian. Atau sebaliknya. Kalau tak pun, mata dilentik selentik ulat kaki seribu demi menunjukkan kecantikkan empunya diri.

Purdah dipakai untuk menggelakkan fitnah. Untuk mengelakkan ujub dan untuk menyembunyikan kecantikan yang hanya layak dinikmati oleh yang bukan ajnabi. Dengan menyembunyikan kecantikan in shaa ALLAH dapat melindungi diri daripada fitnah dan meningkatkan rasa taqwa dan tawadduk kepada ALLAH.

Lagipun pemakaian purdah satu sunnah bukan? Kaum kerabat wanita Nabi S.A.W. diriwayatkan juga mengenakan purdah pada wajah mereka.

Cuma.. dalam berpurdah, jangan lupa dakwah. Purdah ini juga boleh menjadi satu penghalang untuk menyampaikan dakwah. Mengapa? Para wanita yang free-hair atau mereka yang tidak menutup aurat dengan sempurna pasti segan untuk berkawan dengan golongan berpurdah ini. Sedangkan mereka yang tidak berpurdah lebih selesa untuk didekati oleh mereka. Antara dakwah dan purdah, yang mana lebih wajib??

Islam bangga apabila setiap penganutnya beramal dengan sesuatu setelah memahaminya dengan dalil dan hujjah.  Islam juga bangga jika setiap muslimahnya beramal dengan sesuatu semata-mata menurut kehendak Allah dan rasulNya, bukannya kerana bertaqlid buta pada amalan orang lain.

Jadi untuk kesekian kalinya, fahami terlebih dahulu rasional di sebalik hukum berpurdah sebelum beramal dengannya.    Bacalah juga perbahasan yang mengatakan purdah itu tidak wajib di dalam mana-mana buku yang berbicara tentang hijab. Setelah meluaskan pembacaan dan melihat pro kontra antara keduanya, baru buat pilihan yang sesuai dengan kefahaman dan keperluan diri. Isu purdah ini termasuk dalam hukum Islam yang terdapat nas dari Quran, sunnah dan amalan mukminat di zaman Rasulullah S.A.W itu sendiri. Jadi berhati-hatilah dalam membuat penilaian melampau terhadap pemakai niqab atau purdah.  Dibimbangi kita menghina salah satu cabang hukum Islam yang mana boleh membawa kepada gugurnya aqidah. Na’uzubbillahi minzaliq.

Wallahu'alam.

Comments